Sabtu, 17 Mei 2014

Mengajar Murid Lemah Mengarang

Teknik mengajar penulisan bagi pelajar lemah/GaLus

" Guru 1 : Macam mana mengajar kelas hujung?
Saya : Boleh la.... (tersengih-sengih) "
Saya menghadapi cabaran yang hebat untuk mengajar pelajar yang lemah. Terasa jelas masih banyak yang perlu saya pelajari.

Hasil dari perbincangan dengan rakan guru dalam mengajar Bahasa Melayu, beliau mencadangkan beberapa teknik P&P Bahasa Melayu (Penulisan) yang berkesan berdasarkan pengalaman dan aplikasi oleh guru-guru. Berikut adalah beberapa strategi atau cara mengajar karangan Bahasa Melayu bagi pelajar lemah dan GaLus.

Teknik 1
Edar contoh karangan lengkap kepada murid
Guru baca bersama murid
Menyalin perenggan demi perenggan
Semak ejaan/tanda bacaan
Edar karangan yang sama - dalam bentuk isi tempat kosong sebagai latihan

Teknik 2
Beri gambar tunggal/bersiri
Bina ayat berdasarkan gambar
Berikan kosa kata yang dominan dengan gambar
Mula mengarang
Semak karangan/kesan tanda baca dan ejaan

Teknik 3
Edar karangan lengkap
Cari perkataan sukar, catat di papan kapur
Guru/murid - sebut/baca/ulang/terangkan makna perkataan tersebut
Guru menyebut - murid mengeja
Perbetulkan ejaan
Ambil isi karangan dalam perenggan 1 sahaja
Tuliskan di papan kapur
Bina ayat daripada isi karangan
Beri penekanan kepada pemerengganan dan tanda baca

Teknik 4
Salin contoh karangan
Mengambil imlak
Latihan mengarang/banyak salah buat semula
Baca contoh-contoh karangan
Tampal contoh karangan dalam bilik darjah
Apa yang saya bincangkan, teknik di atas diamalkan oleh guru sekolah rendah. Namun, dengan sedikit ubahsuai, rasanya boleh diaplikasikan di semua peringkat.

Jikalau sudi, bolehlah kongsi teknik-teknik yang mungkin anda telah cuba. Harap memberi manfaat... :)


Kaedah Pengajaran Murid Sederhana dan Lemah
Kaedah Pengajaran Murid Berpencapaian Sederhana, Lemah, GALUS, atau GARUK
(Untuk rakan-rakan guru Bahasa Melayu terutamanya guru-guru SMKBBST)
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim

Pengenalan

Memang sudah menjadi lumrah alam bahawa murid-murid yang kita ajar mempunyai 
tahap pencapaian yang berbeza-beza. Ada yang cepat faham akan isi kandungan pelajaran yang diajarkan oleh guru, namun ada juga yang lambat untuk memahami isi pengajaran yang diajarkan oleh guru. Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai cara atau kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar murid sama ada yang cerdik dan pintar ataupun yang sederhana ataupun lemah. Penulis cuma akan menyentuh cara atau kaedah untuk mengajar murid yang sederhana dan lemah sahaja dalam perbincangan kali ini. Kaedah yang digunakan perlu dipelbagaikan kerana kelemahan murid pun berbeza-beza. Perkara yang sudah pasti ialah pelajar yang lemah juga, tidak menguasai kemahiran bahasa yang baik dan sering dikaitkan dengan masalah disiplin. Sering kali juga kita mendengar bahawa guru-guru akan melabel murid-murid tersebut dengan berbagai-bagai label atau panggilan yang negatif. Perkara ini perlulah dielakkan jika kita benar-benar hendak membantu murid yang lemah ini.

Cabaran dan Tanggungjawab Guru

Oleh hal yang demikian, cabaran yang terpaksa dihadapi oleh guru yang mengajar murid kelas lemah berbanding dengan kelas pandai adalah lebih hebat. Namun demikian, 
jadikan cabaran itu sebagai peluang untuk berbakti kepada anak bangsa. Selain itu apabila kita mengajar murid lemah, otak kita sentiasa bergerak cergas kerana kita memaksanya berfikir untuk mencari kaedah yang menarik dan sesuai untuk menangani pelbagai masalah di dalam kelas murid lemah ini.

Satu aspek yang paling penting dan perlu diberikan penekanan ialah kemahiran dalam 
kawalan kelas. Guru perlu mengawal kelas agar disiplin murid di dalam kelas murid lemah itu terkawal. Selain itu, terangkan kepada mereka sebab atau faktor yang menyebabkan guru mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana murid yang tidak mendengar arahan guru. Terangkan kepada murid, bahawa kita hidup memang dikawal oleh peraturan. Tidak kira kita berada di mana pun, sudah pasti ada peraturan atau undang-undang yang perlu dipatuhi. Di jalan raya, kita perlu mengikut peraturan, malahan di rumah pun ada peraturan yang perlu dipatuhi. Jadi, ketika berada di dalam kelas sudah tentu murid-murid perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh guru dan pihak sekolah.

Apabila kelas sudah dapat dikawal, barulah guru memulakan pelajaran. Biasanya bagi kelas murid lemah ini, guru-guru perlu menggunakan 
silibus minimum kerana tahap pencapaian mereka memang rendah. Jika mereka menguasai silibus minimum ini pun sudah bolehlah dibanggakan, kerana mereka kurang bermotivasi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi seperti murid-murid pintar yang lain. Namun begitu kita perlumemotivasikan mereka dengan memberikan peluang, harapan dan mereka juga perlulah berfikir secara positif. Elakkan sikap merendah-rendahkan kebolehan atau pencapaian mereka kerana perkara itu akan mematikan semangat mereka dan yang lebih buruk lagi akan menyebabkan mereka benci kepada guru dan mata pelajaran yang diajarkan oleh guru itu.

Sebagai guru, kita perlu menekankan 
pembelajaran yang berkesan di dalam kelas. Pengajaran yang berkesan merupakan pengajaran yang membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan, sikap dan objektif yang telah ditetapkan. Pakar-pakar pendidikan juga mengatakan bahawa pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang menarik. Pengajaran berkesan atau efektif juga sebenarnya merupakan pengajaran yang digemari oleh pelajar. Oleh hal yang demikian, pengajaran yang efektif dapat ditakrifkan sebagai suatu aktiviti yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baharu. Menurut Wan Zah Wan Ali (2000), guru yang efektif mempunyai sikap yang adil dan tidak pilih kasih, bertimbang rasa, baik hati, bertanggungjawab, suka menolong individu yang lain, banyak bersabar dalam melayani kerenah pelajar, tenang, dan stabil emosinya.

Guru juga perlu mengamalkan sikap 
peramah dan mudah didekati. Dengan cara yang demikian, pelajar tidak akan berasa takut untuk bertanya soalan atau berkomunikasi dengan guru. Seterusnya, guru perlulah memberikan pujian walaupun jawapan mereka kurang tepat dan jangan sekali-kali menghina atau memandang rendah terhadap mereka walaupun jawapan yang diberikan oleh mereka itu tidak tepat atau salah. Perkara ini akan memberikan keyakinan kepada mereka untuk menjawab soalan yang lain pada masa akan datang. Hal ini juga akan menimbulkan tanggapan positif pelajar terhadap guru. Pelajar akan menganggap guru mudah dihampiri dan guru juga perlulah menyelitkan unsur humor atau jenaka di dalam kelas agar tidak membosankan murid. Perkara ini penting kerana mereka berasa selesa, tertarik dan lebih yakin untuk belajar dalam keadaan yang sedemikian. Guru juga seharusnya mempunyai personaliti dinamik, iaitu menarik, aktif, dan bersungguh-sungguh semasa mengajar murid. Selain itu, guru juga perlu memberikan contoh teladan yang baik serta memakai pakaian yang kemas dan sesuai untuk menggambarkan imej sebagai seorang pendidik yang cemerlang.

Kajian Tindakan

Guru-guru seharusnya menjalankan kajian tindakan di dalam kelas. Kajian tindakan perlu dijalankan kerana guru dapat 
mengenal pasti kelemahan murid di dalam kelasnya sendiri dan cuba untuk membimbing ataumerawat murid-murid yang lemah. Sudah tentu guru-guru yang mengajar murid-murid di dalam kelasnya sendiri yang mengetahui kelemahan yang dihadapi oleh murid-muridnya. Oleh hal yang demikian, guru-guru perlulah mencari cara atau teknik yang sesuai untuk mengatasi kelemahan murid-muridnya itu. Sekurang-kurangnya guru perlu memikirkan cara atau teknik untuk membantu murid-muridnya dalam mata pelajaran yang diajarnya itu. Sekiranya cara atau teknik yang digunakan itu kurang berkesan untuk mengatasi kelemahan muridnya itu, maka guru bolehlah mencuba cara atau teknik yang lain. Guru-guru boleh berbincang dengan rakan-rakan sejawatan untuk mencari cara dan teknik yang berkesan itu. Perkara yang lebih penting ialah semangat guru itu untuk mencari cara atau teknik yang berkesan perlulah diberikan pujian dan mereka tidak seharusnya mudah berputus asa jika gagal buat kali pertama. Guru perlu mencuba pelbagai cara atau teknik, walaupun beberapa kali sehinggalah bertemu dengan cara atau kaedah yang berkesan.
Guru boleh bertanya kepada murid-murid dan berbincang dengan mereka tentang cara-cara atau teknik-teknik yang disukai oleh mereka semasa di dalam kelas. Guru bolehlah menggunakan cara yang disukai oleh murid agar pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Selain itu guru boleh mendapatkan pandangan murid tentang cara yang digunakan oleh guru sebelum ini, sama ada cara itu membosankan atau menarik perhatian mereka. Jika jawapannya negatif, guru harus mengubah teknik tersebut. Guru juga perlu mendapatkan komen atau pandangan murid tentang perkara-perkara yang tidak disukai oleh mereka terhadap guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Selain secara lisan, guru juga boleh mengedarkan soal selidik yang ringkas ataupun murid-murid menulis sebarang komen tentang cara guru mengajar murid.

Teknik Pengajaran yang Berkesan

Guru-guru seharusnya peka dengan tuntutan Kementerian Pelajaran yang mahu kaedah pengajaran guru mestilah berpusatkan pelajar dan tidak berpusatkan guru. Dengan menggunakan kaedah tersebut, sudah tentu kaedah pengajaran mesti menarik perhatian mereka. Tambahan pula murid-murid yang lemah ini lebih berminat terhadap pengajaran guru jika mereka dilibatkan sama dengan aktiviti yang disukai oleh mereka. Murid-murid tersebut hendaklah diberikan aktiviti yang berbentuk "
hands on" dan perkara ini tidak membosankan mereka. Untuk menarik perhatian murid, guru-guru perlulah menggunakan pendekatanpengajaran dan pembelajaran yang berasaskan bahan bantu belajar (BBB). Oleh yang demikian sudah tentulah memerlukan BBB yang digunakan untuk menarik perhatian murid selain faktor guru yang mesra dan tidak terlalu serius semasa pengajaran dan pembelajaran. Pakar-pakar dalam bidang pendidikan juga sering mengaitkan bahawa pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang menarik.

Dalam mengendalikan kelas yang lemah dan bermasalah ini, guru perlulah bersikap 
tegas terhadap murid tetapi bukannya garang. Hal ini demikian kerana, murid-murid perlu diberikan penerangan tentang sebab-sebab guru perlu bertindak dengan tegas semasa pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Oleh itu guru-guru perlu mendampingi murid-murid dan bimbinglah mereka kerana mereka sebenarnya memerlukan bimbingan. Selain itu guru juga tidak seharusnya bersikap prejudis dan pilih kasih semasa mengajar murid di dalam kelas. Hal ini demikian kerana murid-murid tidak suka akan guru-guru yang bersikap sedemikian. Oleh itu guru-guru perlu menghormati murid-muridnya dan insyaallah, murid-murid juga akan hormat kepada guru. Perkara ini sudah menjadi lumrah iaitu murid-murid ini juga manusia biasa dan perlu dihormati untuk meningkatkan harga diri mereka. Biasanya murid-murid yang selalunya biadap terhadap guru juga akan tunduk kepada guru yang menghormati mereka dan meningkatkan harga diri mereka.

Guru-guru perlulah 
memberikan harapan dan sokongan moral kepada pelajar untuk berjaya atau lulus dalam peperiksaan. Selalu ingatkan mereka agar berfikir secara positif dan yakinkan mereka bahawa mereka boleh lulus dalam peperiksaan tetapi mestilah diikuti dengan usaha gigih dan berterusan tanpa mengenal putus asa. Guru-guru hendaklah selalu memberikan pujian dan kata-kata semangat terhadap murid sebagai dorongan untuk mereka belajar dan lulus dalam peperiksaan. Selain itu cari perkara disukai oleh mereka dalam pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya ada murid yang pandai melukis, minta mereka melukis perkara yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari itu di dalam kelas.

Guru-guru juga harus 
kreatif dan mencipta kaedah sendiri yang berkesan dan biasanya berbentuk formula yang memudahkan murid mengingat sesuatu fakta. Sebagai contohnya, gunakan formula ”IniKah Cinta” (Isi, Kesan dan Contoh) untuk menghurai isi karangan dalam satu perenggan. Selain itu, guru-guru perlu memberi latihan kepada murid mengikut tahap dan kemampuan mereka. Beri latihan yang mudah kepada pelajar lemah atau permudahkan latihan itu dengan memberikan latihan terarah atau mengisi tempat kosong. Di samping itu guru-guru juga perlu melatih pelajar untuk membuat pembetulan terhadap kesalahan yang dilakukan dan guru perlu menyemak latihan murid dengan teliti. Pastikan murid membuat pembetulan bagi setiap kesalahan yang ditandakan. Seterusnya langkah yang akhir ialah teknik latih tubi atau teknik hafalan perlulah dilakukan dan kalau perlu lengkapkan murid dengan fakta-fakta penting yang mungkin ditanya dalam peperiksaan. Hal ini boleh membantu mereka sekurang-kurangnya untuk lulus dalam peperiksaan.

Penutup

Kesimpulannya, guru-guru yang mengajar murid-murid yang lemah memang berhadapan dengan 
cabaran yang hebat. Oleh hal yang demikian, guru-guru perlulah bersemangat dan bermotivasi tinggi semasa berada di dalam kelas untuk menggalakkan murid-murid bersemangat dan bermotivasi semasa belajar. Selain itu elakkan sikap mengajar murid cuma setakat menjalankan tugas semata-mata. Dengan perkataan lain, guru-guru mesti memiliki komitmen yang tinggi terhadap murid dan sanggup membuat kerja lebih demi membantu murid. Di samping itu, anggaplah masalah yang dihadapi di dalam kelas itu sebagai cabaran dan peluang untuk memberikan sumbangan dan bukannya masalah atau halangan. Jangan lupa bahawa kerja itu juga sebagai ibadah dengan syarat kerja itu dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Perlu diingat bahawa mendidik murid juga merupakan satu perjuangan, sama seperti berjuang di medan jihad. Diharapkan usaha kita diberkati dan mendapat hasil seperti yang diharapkan iaitu untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang mengikut kemampuan masing-masing.

Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

Latihan Menjelmakan Nilai Murni

Lengkapkan nilai murni berdasarkan kata kunci yang diberi.
Bil
Nilai Murni
Kata Kunci
1

bersimpati terhadap kesusahan orang lain

2

Memuliakan dan mentaati ibu bapa

3

Berani melakukan sesuartu perkara yang baru dan mencabar untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain dengan mengambil risiko yang akan dihadapi
4

mengambil kira keperluan dan perasaan orang lain apabila membuat sesuatu tindakan
5

Menyatakan perkara yang benar tanpa menokok tambah atau berselindung
6

Percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup mencuba 
7

Membuat pertimbangan secara objektif, menyeluruh dan bersesuaian
8

Sedia mengaku kesilapan diri sendiri serta sanggup menerima nasihat 
9

Bertutur dan berkelakuan yang tidak melampaui batas serta menyinggung perasaan atau menimbulkan kemarahan orang lain
10

Sanggup meminta maaf dan memberi kemaafan

11

Melahirkan perasaan untuk menunjukkan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan dan pemberian
12

Sedia bergaul mesra dengan semua orang

13

Menyayangi diri sendiri dan orang lain

14

sanggup memberi dan menerima pandangan serta memahami perasaan dan keperluan masing-masing
15

Menghormati kepercayaan dan adat resam semua keturunan di Malaysia
16

Berbudi bahasa dan beradab dalam pergaulan

17

Pemeliharaan alam sekeliling supaya rapi dan bebas daripada kekotoran dan pencemaran
18

Menepati waktu dan menggunakan masa dengan berfaedah

19

Memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang memerlukannya

20

Tidak berat sebelah dalam sesuatu tindakan dan keputusan sama ada dalam memberikan ganjaran atau hukuman
21

Mematuhi undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira di mana seseorang itu berada
22

Sanggup dan boleh melakukan sesuatu tanpa mengharapkan orang lain
23

Memelihara dan memulihara kehidupan flora dan fauna untuk kesejahteraan hidup
24

Berusaha bersungguh-sungguh dengan inisiatif, kreatif dan inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti
25

Bertolak ansur serta dapat mengawal diri untuk mengelakkan berlakunya perselisihan
26

Menunjukkan rasa hormat kepada ahli keluarga, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin dengan memberi layanan yang baik
27

Mengutamakan persetujuan dan kerjasama dalam sesuatu pekerjaan bagi kepentingan bersama


Bil
Nilai Murni

Kata Kunci

28


Berani mempertahankan sesuatu yang diakui kebenarannya dengan menunjukkan bukti yang nyata
29

Membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya memuaskan diri sendiri dan orang lain
30

Menerima dan hormat kepada kerajaan serta lambang-lambang kebesaran negeri
31

Menyedari masalah masyarakat dan sedia berusaha menyelesaikannya 
32

Kebersihan anggota yang perlu dijaga oleh setiap individu untuk hidup sihat
33

Berupaya mengambil kira baik buruknya sesuatu perkara sebelum membuat keputusan
34

Melakukan sesuatu tugas secara beramai-ramai dan sukarela
35

Bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan dan dapat menimbulkan kepercayaan   dan keyakinan orang lain
36

Berbaik-baik, bertolak ansur, tolong-menolong, dan bekerjasama dengan jiran tetangga
37

Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga untuk perkara yang berfaedah
38

Mempunyai semangat yang tinggi untuk menjaga keselamatan, nama baik negara
39

Bersefahaman dan bekerjasama di peringkat keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa
40

Pertuturan dan perlakuan yang terpuji yang perlu diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan orang lain
41

Melakukan sesuatu dengan suci hati tanpa mengharapkan balasan



Rabu, 14 Mei 2014

17 Nilai Murni UPSR

Nilai Murni
1.       BAIK HATI
Sikap yang sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang  lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati ini boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.
                                     
a)       Belas kasihan
b)       Bertimbang rasa
c)       Murah hati
d)       Saling memahami
e)       Sedia memaafkan


2.       BERDIKARI
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain.
a)       Bertanggungjawab
b)       Berupaya bertindak sendiri
c)       Jaya diri
d)       Yakin pada diri sendiri      


3.       HEMAH TINGGI
Budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta berbudi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorang individu dalam hubungannya dengan ahli masyarakat yang lain.
a)       Kesopanan
b)       Mengakui kesalahan diri
c)       Ramah mesra                                                                                             


4.       HORMAT – MENGHORMATI
Menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberi layanan yang bersopan.

a)       Hormat dan taat kepada ibu bapa
b)       Hormat kepada orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
c)       Hormat kepada raja dan negara
d)       Hormat kepada hak asasi
e)       Hormat kepada kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan
f)        Hormat kepada keperibadian individu
g)       Patuh kepada undang-undang
h)       Patuh kepada ketepatan masa
i)         Menghargai kebijaksanaan, pengalaman dan jasa
j)         Menghargai tenaga pekerja
k)       Menghargai maruah diri
5.       KASIH SAYANG
Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan
 berkekalan lahir dari hati yang rela terhadap sesuatu.

a)       Sayang kepada nyawa
b)       Sayang kepada alam sekeliling
c)       Cinta kepada negara
d)       Cinta kepada keamanan dan keharmonian
6.       KEADILAN
Perlakuan, pertuturan dan keputusan  yang saksama serta tidak  
berat  sebelah.

a)       Adil
b)       Saksama
7.       KEBEBASAN
Boleh melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu
tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditentukan
oleh agama, masyarakat, dan negara.

a)       Kebebasan di sisi undang-undang
b)       Kebebasan dalam sistem demokrasi

8.       KEBERANIAN
Kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati. Keberanian itu perlu ada pada setiap orang tetapi harus tahu batas dan keupayaannya kerana keberanian yang melulu boleh mengakibatkan bencana.

a)       Berani dengan tidak membuta tuli
b)       Berani kerana benar
c)       Berani mempertahankan pendirian
d)       Berani bertanggungjawab
9.       KEJUJURAN
Sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah
dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

a)       Amanah
10.    

10.   KEBERSIHAN FIZIKAL DAN MENTAL
Kebersihan fizikal adalah kebersihan diri dan kebersihan persekitaran.
Kebersihan mental pula adalah kebersihan pertuturan, perlakuan,   
pemikiran dan kerohanian.

a)       Kebersihan diri
b)       Kebersihan persekitaran
c)       Pertuturan dan kelakuan yang sopan
d)       Pemikiran yang sihat

11.   KERAJINAN
Usaha berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara.
a)       Cekal
b)       Daya usaha
c)       Dedikasi
d)       Gigih
e)       Tekun


12.   KERJASAMA
Usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat  atau negara untuk mencapai kesejahteraan sesuatu matlamat.
a)       Persaudaraan
b)       Tanggungjawab bersama
c)       Gotong-royong
d)       Toleransi
e)       Kebaikan bersama
f)        Perpaduan

13.   KESEDERHANAAN
Sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan
dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau
 perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat.

a)       Sederhana dalam menimbangkan kepentingan diri dan
kepentingan orang lain.
b)       Tidak keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah laku.



14.   KESYUKURAN
Perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh.
a)       Berterima kasih
b)       Mengenang budi
c)       Penghargaan



15.   RASIONAL
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya tanpa dipengaruhi oleh perasaan.

a)       Boleh membuat pertimbangan
b)       Boleh membuat penaakulan
c)       Berfikiran logik dan terbuka


16.   SEMANGAT BERMASYARAKAT
Kesediaan melakukan sesuatu dengan semangat
kekitaan untuk kepentingan bersama bagi mewujudkan
keharmonian hidup dalam masyarakat.

a)       Bermuafakat
b)       Kejiranan



17.   PATRIOTIK
a)       Cintakan negara – Berbangga dan taat setia serta berusaha untuk memajukan negara.
b)       Berkorban untuk negara – Sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan negara